السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
إخوة استاذ حذري البنداني
TINTA TARBAWI : CATATAN TAUSIYAH ULAMA
( DAURAH GURU MURSYID NEGERI SELANGOR 2014 )
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَن وَالَاهُ
Pada 27 hb September 2014 yang lepas dianjurkan satu Program Daurah Guru Mursyid Negeri Selangor yang menampilkan seorang guru dan mursyid yang tak asing lagi iaitu AL-MUKARRAM AL-HABIB ALI ZAINAL ABIDIN AL-HAMED.
Berikut adalah catatan / dapatan yang sempat ana ambil sepanjang tausiah al-Mukarram Habib Ali. Semoga menjadi satu pedoman buat kita semua sebagai seorang guru mahupun seorang murid.
KEMULIAAN PARA GURU :
Allah letakkan para guru berada pada martabat ketiga dalam kehidupan umat iaitu selepas kedududukan Allah dan Rasul.
Guru penyambung tugas yang mulia Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam :
وإنما بعثت معلما
“ Sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang guru” [ HR Ibnu Majah : 229 ]
Tugasan mulia kerana peranannya memnjadi sebab hidayah kepada orang lain. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wa sohbihi wasallam bersabda :
فَوَ اللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى الله بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
“Maka demi Allah, sekiranya Allah memberi hidayah kepada seorang sahaja (kerana da’wah) melalui diri mu, (itu) adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu memiliki unta-unta merah.” [ HR Bukhari, Muslim dan Ahmad ]
Para guru adalah orang yang beruntung. Mereka menjadi kunci pembuka kebaikan kepada umat manusia.
فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه
“ Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan di tangannya “ [ HR Ibnu Majah ; 195, as-Silsilah as-Sohihah ; 1332 ]
Tugasan para guru adalah membimbing dengan ilmu. Oleh itu setiap guru perlu menyediakan diri dengan ilmu. Ilmu yang membawa manusia menuju ke akhirat.
Itulah Ilmu menjaga alam dunia. Kejayaan di dunia ada hubungkait dengan ilmu dan asuhan seorang guru.
Orang yang pintar dan cerdik sehingga boleh mengubah wang dalam akaun orang lain ke akaunnya bukan tidak berilmu, mereka orang yang pintar. Tetapi mereka buta dengan ilmu menuju akhirat.
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
Mafhum : “ Berlaku kerosakan di atas muka bumi akibat perbuatan manusia “ [ QS ar-Rum ; 41 ]
Kerosakan umat manusia berpunca dari dua jenis manusia, iaitu UMARAK dan ULAMA. Jika baik keduanya baiklah masyarakat.
Ulama berada pada kedudukan yang tertinggi kerana rosaknya umarak juga disebabkan dengan rosaknya ulama.
Dalam satu peribahasa :
العلماء قلب البلد
“ Para ulama itu hati Negara “
Carilah ilmu dengan bimbingan para ulamak kerana mereka itu hati Negara.
Ilmu itu terbahagi dua :
1.Ilmu pada lisan yang mengucapkan.
2.Ilmu pada Jinan ( hati ).
Seorang yang memberikan ilmu pada lisan kadangkala tidak menberi kesan pada hati muridnya. Berbeza dengan ilmu yang zahir dari jinan, ia akan meresap ke hati muridnya sehingga sedar pengawasan Allah atas apa yang mereka lakukan.
MASALAH UMAT HARI INI ( SYEIKH GOOGLE )
Ini adalah masalah dan musibah buat semua. Apabila ada yang mengambil jalan mudah untuk menuntut ilmu dari syeikh google. Ilmu yang diambil tidak dapat dipastikan sumber yang sebenar.
JALAN MENUNTUT ILMU.
1.Melihat dulu dari siapa ilmu yang nak dipelajari :
Para ilmuan silam mereka bersungguh mencari ilmu dari hati para ulama. Muhammad bin Sirin Rahimahullah mengatakan :
إن هذا العلم دين، فانظروا عمن تأخذون دينكم
“ Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kalian mengambil agama kalian” [ Sohih Muslim ]
Kita disuruh mencari orang yang berilmu untuk mengambil ilmu. Lihatlah kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir alaihima wa ‘ala Nabiyina afdholus solati wa azkassalam. Merupakan kisah perjalanan murid mencari mursyidnya.
2. ilmu dicari dengan susah payah dan kesungguhan.
Nabi Musa mengatakan :
لَا أَبْرَحُ حَتَّى أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا
"Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga Aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau Aku berjalan terus bertahun-tahun" [ QS al-Kahfi ; 60 ]
Perkataan Huqaba adalah kata jamak dari Huqbah. Huqbah bermaksud 80 tahun. Sekurang-kurang jamak adalah tiga. Jadi maksud Huqaba itu adalah melebihi 240 tahun Nabi Musa sanggup berjalan semata-mata kerana mahu belajar dari seorang mursyid yang telah dimaklumkan Allah kepadanya.
Berjalan sahaja lebih 240 tahun untuk menuntut ilmu. Kerana berbaloi bila mendapat ilmu yang dicari untuk kenal Allah. Seperti orang yang menyelam selama 10 tahun rasa berbaloi dan hilang keletihan apabila ditemui mutiara berharga yang dia cari.
Ayat ini menggambarkan kepada kita tentang pentingnya mengambil ilmu dari orang yang soleh dan mursyid. Kisah Nabi Musa ini jelas menunjukkan ada hamba Allah yang dianugerahkan ilmu dari Allah.
فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا
“ lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami Yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi kami.[ QS al-Kahfi ; 65 ]
Telah menjadi sunnatullah di bumi ini, mencari ilmu dengan kita pergi kepada para ulama. Dan ia perlu kesungguhan dan usaha.
3. Irsyad Seorang Murabbi.
Nabi Musa berkata kepada Nabi Khidir saat bertemu :
قَالَ لَهُ مُوسَى هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَنْ تُعَلِّمَنِي مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا
“ Nabi Musa berkata kepadanya: bolehkah Aku mengikutmu, Dengan syarat Engkau mengajarku dari apa Yang telah diajarkan oleh Allah kepadaMu, ilmu Yang menjadi petunjuk bagiku?" [ QS al-Kahfi ; 66 ]
Perkataan Rusyda bermaksud Hidayah. Nabi Musa memohon izin untuk belajar ilmu yang boleh membawa hidayah.
GURU / MURABBI / MURSYID :
Murabbi bermaksud mendidik, menjaga dan membesarkan.
Apabila dunia keguruan ada yang hanya memberi ilmu tetapi tidak mencerna hidayah, maka timbullah istilah alim Murabbi atau Mursyid untuk membezakan didikan mereka dengan guru-guru lain yang hanya memberi ilmu yang tidak berbekas kepada syahsiah murid.
MU’ALLIM MURABBI adalah guru yang menggabungkan pengajaran dan tarbiyah iaitu mengawasi dan menjaga muridnya.
Seumpama seorang penjaga kuda yang sanggup berbelanja mahal menyediakan makanan kudanya agar lari laju. Begitulah seorang murabbi menjaga muridnya agar ilmu berbekas pada kehidupannya agar kenal Allah. Kata peribahasa :
لولا مربي ما عرفت ربي
“ Kalau bukan kerna murabbi, aku takkan kenal tuhan ku”
MU’ALLIM MURSYID pula adalah guru yang memaksimumkan usahanya agar kenal kepada Allah. Gabungan ilmu duniawi dan ukhrawi agar murid kenal Allah.
Setiap ilmu yang diajar menjurus kepada tidak melakukan kekufuran kepada Allah. Lihat sahaja kisah Harut dan Marut yang mengajar ilmu sihir kepada Manusia .. mereka masih berpesan agar jangan kufur kepada Allah.
وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ
sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya Dengan berkata: "Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". [ QS al-Baqarah : 102 ]
kita bukan nak menyuruh belajar sihir. Tetapi perhatikanlah Harut dan Marut yang mengajar sihair itu pun masih berpesan agar mereka yang belajar tidak kufur kepada Allah. Maka sudah pasti ilmu yang lebih bernilai dan bermakna dari sihir itu diajar dengan ingatan kepada Allah.
MANHAJ NABAWI DALAM TARBIAYAH ( RASULULLAH SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM SEBAGAI MURABBI )
Mu’allim murabbi menggunakan berbagai wasilah agar murid kenal Allah. Jalan untuk mengetahui cara tarbiyah ialah dengan melihat cara Rasulullah.
قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain." [ QS Yusof ; 108 ]
Nabi Sallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasahbihi wasallam menggunakan segala sarana untuk menyeru kepada Allah.
Tiga cara utama baginda ialah HIKMAH, MAU’IDZATUL HASANAH dan DIALOG.
BEBERAPA KISAH SARANA TARBIYAH RASULULLAH ;
Kisah 1 :
Penjara di zaman Nabi bukan sekadar menghukum, tetapi sarana dakwah.. Tsumamah bin Us-TSal yang ditangkap ( seorang ketua di yamamah, pernah bunuh beberapa orang sahabat-Pen ) Nabi kita perintahkan diikat ditiang masjid.
Beberapa hari ditanya mahukah dia peluk Islam. Dia enggan memeluk islam.. tetapi bila Nabi kita bebaskan beliau.. beliau pergi mandi bersihkan badan dan kembali menemui Nabi dan mengucap syahadah.. katanya aku tak mahu mengucap saat diikat kerana bimbang akan dianggap memeluk islam kerana mahu bebas..
Inilah yang dikatakan teknik Irsyad.. dengan terikat di masjid banduan itu melihat sendiri keagungan islam dan tarbiyah Nabinya.
Kisah 2 :
Seorang badawi datang membawa biawak lantas berkata aku tidak akan beriman kecuali kalau aku lihat biawak ini berbicara dengan kamu.. lantas Nabi bertanya wahai biawak siapakah aku ? kata biawak kamu rasul rabbil ‘alamin..
Nabi kita berbicara ikut tahap pemikiran orang yang berbicara.. sesuai dengan arab badawi itu maka berlaku mukjizat untuk menguatkan dakwah nabi..
Baginda memanggil Abdullah bin Abbas : Ya GHulam .. tanda kasih dan sesuai dengan umurnya yang masih muda.
Kisah 3 :
Seorang Arab bertanya : “ bagaimana nak menjahit baju yang koyak di syurga nanti?” para sahabat ketawa semuanya mendengar pertanyaaan itu.. Nabi bertanya kenapa kalian ketawa.. bahkan Nabi puji soalan orang itu… baginda membela orang itu saat diperkecilkan lihatlah sarana tarbiyah.
Kisah 4 :
Seseorang bersin dalam solat, lalu seorang badwi mengucapkan “ Yarhamkallah “ ketika sedang solat.. para sahabat melirik mata mereka kepada badawi yang berkata-kata dalam solat itu.. badawi itu bertanya “ ada apakau lihat aku?”.. para sahabat yang lain menepuk belakang tangan mereka tanda protes kerana orang itu bercakap-cakap dalam solat.. selepas solat Nabi menegur para sahabatnya “ jika seseorang kamu menegur dalam solatnya maka ucaplah tasbih, sesungguhnya tasbih untuk lelaki dan menepuk tangan untuk perempuan..”
Lihatlah nabi tidak menegur badawi yang bersalah itu kerana dia orang yang tak faham.. badawi itu berkata alangkah baiknya didikan Muhammad..
Kisah 5 :
Mua’az bin Jabal mengimamkan solat dan membaca surah al-baqarah.. kerana terlalu panjang ada orang yang mufaraqah..
Setelah orang itu bercerita kepada Rasulullah baginda memanggil muaz dan memarahinya dengan tegas.. lihatlah betapa bijaknya nabi… kalau dibiar orang itu memarahi muaz mungkin muaz juga tak senang dan marah.. tapi dengan baginda yang memarahinya.. muaz dapat menerima teguran itu..
Inilah sebahagian dari mutiara kata tausiyah al-Mukarram Habib Ali Zainal Abidin al-Hamed yang sempat ana catatkan ( dengan sedikit penambahan sumber rujukan ayat al-quran dan riwayat hadis-pen. ) mohon maaaf atas sebarang kekurangan..
Doakan taufik, hidayah dan ‘afiah…
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ, والْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ , والعفو منكم
Catatan Oleh
Ustaz Mohd Hazri al-Bindany.
Ketua Mursyid Negeri Selangor
Bagus, kaya manfaat
ReplyDelete