7 Mar 2023

Pengajaran dan Pembelajaran al-Quran Semasa Haid di sekolah-sekolah KPM

 


Pengajaran dan Pembelajaran al-Quran Semasa Haid di sekolah-sekolah KPM


Oleh: Ustaz Mohd Hazri bin Hashim (Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam KPM)


Di Malaysia, mutakhir ini pengajian dalam bidang tahfiz al-Quran semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Hal  Ini terbukti daripada jumlah bilangan permohonan calon untuk memasuki institusi dan pusat tahfiz setiap tahun sama ada di pusat-pusat dan di maahad-maahad tahfiz yang diasaskan secara persendirian,  bawah kelolaan kerajaan negeri mahupun persekutuan.


Sekolah-sekolah Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) di SMKA dan SBP juga Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang melaksanakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia juga berkembang pesat sesuai dengan perkembangan semasa. Terdapat 11 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), 21 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan 4 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang melaksanakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz melibatkan 14,821 orang murid di seluruh negara pada tahun 2022.


Seiring dengan perkembangan ini, timbul persoalan berkenaan hukum membaca dan menyentuh al-Quran bagi guru dan murid perempuan yang dalam tempoh haid atau uzur syar’ie. Seramai 7,215 orang murid perempuan dan 484 orang guru perempuan yang sedang menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran tahfiz al-Quran di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.


Perkembangan pendidikan pada zaman ini membuatkan hal ini lebih mencabar apabila mengajar al-Quran dan ilmu agama sudah menjadi satu kerjaya yang bergaji tetap. Sudah semestinya guru-guru perempuan yang mengajar al-Quran tidak lepas daripada dilema hukum antara larangan membaca al-Quran dan menjalankan tugas mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, tuntutan kerjaya yang dibayar gaji secara bulanan dan proses pengajaran yang perlu dilaksanakan berdasarkan jadual yang ditetapkan walaupun dalam tempoh mengalami haid.


Hal yang sama turut dihadapi murid-murid perempuan yang mengikuti kurikulum tahfiz di sekolah-sekolah seluruh negara. Murid perempuan perlu mengikuti kelas dan menghabiskan hafazan yang telah ditentukan mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sedia ada sekalipun mereka menghadapi kekangan syarak iaitu haid yang dialami setiap bulan. Mereka juga perlu menjalani sesi peperiksaan sama seperti murid yang lain seperti yang telah dijadualkan oleh pihak sekolah. Bahkan di peringkat kebangsaan mereka juga terikat dengan ketetapan jadual peperiksaan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi peperiksaan SPM.


Boleh dikatakan persoalan ini menjadi sebahagian daripada isu-isu hukum feqah semasa yang perlu dirujuk kepada fatwa-fatwa semasa yang mengambil kira keperluan guru, murid dan kelangsungan pendidikan al-Quran di sekolah-sekolah agar tidak tergendala.


Menurut fatwa-fatwa ulama sebelum ini, tidak boleh bagi seseorang wanita semasa haid atau nifas untuk membaca al-Quran atau menyentuh mushaf. Inilah ketetapan bagi keempat-empat mazhab Ahli Sunnah: Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali. Mereka berhujah dengan firman Allah Ta'ala tentang Al-Quran yang bermaksud: “Tidak ada yang menyentuhnya kecuali orang yang disucikan” [Qs. al-Waqi'ah; 79].


Begitu juga bersandarkan kepada sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a.  bahawa Nabi saw. bersabda: “janganlah orang yang junub dan wanita haid membaca sesuatu pun daripada al-Quran.” [HR. al-Tirmidzi dan al-Baihaqi, yang dinilai sebagai dhaif]. Hujjah mereka dikuatkan lagi dengan hadis Ali r.a.: “bahawa Nabi saw. tidaklah yang menghalangnya daripada membaca al-Quran melainkan junub” [HR. Abu Dawud dan al-Nasa'i dan dia berkata: Hadis yang baik dan sahih]. Mereka juga telah mengqiyaskan wanita haid dengan junub kerana hal keadaan haid itu lebih besar daripada junub.


Inilah ketetapan asal yang dipegang oleh masyarakat Islam amnya, khususnya dalam kalangan awam di negara kita. Namun begitu, adat dan budaya pada zaman sekarang dalam mempelajari al-Quran sudah berbeza jika dibandingkan dengan zaman silam tentang bidang tahfiz al-Quran telah menjadi satu bidang yang diiktiraf di peringkat negara dan juga antarabangsa. Dengan demikian, satu penjelasan hukum perlu dibuat agar kemelut hukum dan kegusaran dalam kalangan guru dan murid dapat diatasi dengan harmoni dan tuntas.


Terdapat beberapa solusi yang dapat diambil dalam menyelesaikan kemelut ini. Solusinya adalah dengan mengambil pandangan khusus daripada mazhab Maliki yang mengecualikan guru dan murid perempuan daripada larangan ini. Pandangan daripada mazhab Maliki menyatakan: “diharuskan bagi guru dan murid perempuan yang dalam keadaan haid membaca dan menyentuh al-Quran. Hal ini sesuai dengan kaedah Syarak: (Kesusahan membawa kemudahan), iaitu kaedah yang disimpulkan daripada firman Allah Taala yang bermaksud: “padahal Allah telah menjelaskan kepadamu apa-apa yang diharamkan-Nya kepadamu, kecuali jika kamu dalam keadaan terpaksa.” [QS. al-An’am;119].


Sebab keharusannya adalah kerana tempoh haid yang panjang, maka dikhuatiri guru dan murid perempuan tersebut akan lupa al-Quran yang dihafal. Ditambah lagi dengan kebimbangan bahawa mengajar al-Quran juga ialah suatu pekerjaan yang bergaji atau punca pendapatan. Maka meninggalkan pengajaran dan pembelajaran semasa tempoh haid akan memudharatkan guru-guru yang terlibat kerana gajinya tidak dibayar atau sukatan hafazan anak-anak muridnya akan terjejas kerana cuti yang panjang akibat haid.


Pandangan daripada mazhab Maliki juga menjelaskan bahawa haid atau nifas tidaklah seperti orang yang junub kerana orang yang junub itu dapat menghilangkan uzurnya dengan mandi, sedangkan orang yang haid dan nifas tidak dapat menghilangkan uzur itu melainkan setelah habis haid atau nifas. Atas dasar itulah, guru dan murid perempuan diharuskan untuk membaca al-Quran dan menyentuhnya kerana beramal dengan pandapat Mazhab Maliki yang merupakan mazhab muktabar daripada 4 mazhab yang utama [Rujuk; Fatwa Syeikh Nuh Ali Salman Dar Ifta’ Jordan (Fatwa bab Bersuci / Fatwa No. 27)].


Selain itu, menurut sebahagian ulama mutakhir dalam mazhab syafie seorang yang dalam haid juga boleh membaca al-Quran dengan niat mengajar, atau niat zikir atau niat mengulangi ayat hafazan. Mereka berfatwa bahawa jika orang yang berhadas besar membaca seluruh al-Quran bukan dengan tujuan membaca al-Quran maka hukumnya harus atas kaedah: “Tiap sesuatu tergantung pada niat dan tujuan”.


    Mereka berpandangan larangan membaca hanya dengan niat ibadah dengan maksud bacaan itu sendiri ialah ibadah yang diharapkan ganjarannya. Adapun seorang yang membaca potongan ayat supaya diikuti oleh muridnya bukanlah dengan niat ibadah tetapi dengan niat mengajar, maka bacaan adalah harus. Begitu juga apabila seseorang membaca ayat-ayat tertentu dengan niat zikir, wirid dan doa maka bacaan adalah suatu yang diharuskan menurut para ulama mutakhir dalam kalangan ulama mazhab syafie.


Oleh hal  yang demikian, pandangan ini merupakan suatu kemudahan kepada guru dan murid perempuan yang terlibat langsung dengan al-Quran, mereka boleh membuat pilihan untuk menjadikan fatwa-fatwa semasa ini sebagai panduan dan pegangan. Namun, perlu diingatkan, hukum harus itu hanya dikhususkan untuk guru dan murid perempuan yang menghafal al-Quran termasuklah guru wanita yang mengajar subjek al-Quran, manakala yang tidak termasuk dalam golongan itu adalah diharamkan sebagaimana hukum asal yang telah dijelaskan.


Wallahu a'lam.

 

 

 

No comments:

Post a Comment