21 Mar 2022

HADITH SAHIH TAK HABIS NAK AMAL, KENAPA NAK AMAL HADITH DA’IF ? SUATU PENJELASAN

HADITH SAHIH TAK HABIS NAK AMAL, KENAPA NAK AMAL HADITH DA’IF ? SUATU PENJELASAN

Sumber Facebook: Ustaz iqbal Zain al-jauhari

Tarikh: 22 Mac 2022

Mutakhir ini, ada beberapa pihak yang cuba mempertikaikan penggunaan hadith da’if dalam hal-hal yang telah diterima oleh Ulama Muhaddithin akan penggunaannya. Lebih menyedihkan apabila orang-orang yang mengamalkan hadith da’if dilabel sebagai pelaku bid’ah, suka benda syubhat dan menyimpang dari sunnah.
Antara soalan yang sering dilontarkan adalah seperti di bawah dan saya kemukakan jawapan pencerahan bagi setiap satunya:
1. “Hadith sahih tak habis nak amal, kenapa nak amal hadith da’if?”.
Jawapan: Untuk melakukan perkara-perkara sunat atau amalan-amalan yang dilakukan untuk mengharapkan fadilatnya, para Ulama tidak mensyaratkan untuk mengamalkan semua hadith sahih terlebih dahulu baru boleh beramal dengan hadith da’if. Kerana untuk mengamalkan sesuatu untuk mendapatkan fadilat amalan tidak disyaratkan baginya hadith sahih.
Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali dalam al-Mughni (j.2,ms.132) ketika berkomentar mengenai solat sunat tasbih yang bersandar kepada hadith da’if, beliau berkata, “Jika ada yang ingin melakukannya maka hal tersebut tidak mengapa kerana hal-hal berkaitan amalan-amalan sunat (nawafil) dan fadilat-fadilat tidak disyaratkan kesahihan riwayat untuk beramal dengannya”.
Imam Abu Bakar ibnu al-Arabi al-Ma’afiri ketika berkomentar terhadap hadith mengenai doa menjawab bersin dengan ‘Yarhamka Allah’ kepada orang yang bersin walaupun lebih dari 3 kali, beliau berkata, “Hadith ini walaupun di dalamnya ada perawi majhul, tetapi ianya adalah mustahab untuk diamalkan kerana ianya adalah doa kebaikan, silaturahim dan berkasih sayang. Maka yang terlebih utama adalah mengamalkannya”.
(Fath al-Bari Sharh al-Bukhari, Kitab al-Adab, Bab Tasmit al-‘Atis Idha HamidaLlah)
Oleh itu, soalan di atas adalah lebih kepada retorik, bukan ilmiah kerana pertanyaan tersebut tidak berkait dengan mana-mana kaedah fiqh dalam menentukan hukum pengamalan sesuatu perkara itu. Yakni tidak ada kaedah fiqh yang menetapkan bahawa amalan sunat boleh dilakukan hanya setelah seseorang itu telah mengamalkan semua hadith sahih terlebih dahulu.
Soalan di atas juga bersifat spekulasi kerana untuk mengajukan soalan tersebut ia terlebih dahulu perlu mengandaikan orang lain tidak amalkan hadith sahih dan hanya mengamalkan hadith da’if semata-mata.
2. “Bukankah amalan yang terdapat dalam hadith sahih lebih afdal dan lebih baik kualitinya, kenapa nak cari amalan dari hadith da’if, bukankah amalan itu menjadi da'if juga?”
Jawapan: Para Ulama juga tidak membeza-bezakan kualiti amalan yang dilakukan berdasarkan perbezaan hadith sahih dan hadith da’if. Kerana selagi mana amalan tersebut adalah perkara sunat, maka kualitinya adalah terletak kepada keikhlasan sang pengamal.
Al-Hafiz Ibnu al-Salah al-Shafi’i dalam al-Fatawa (mas’alah 83) menyebutkan beliau telah ditanya mengenai hukum solat sunat tasbih secara berjemaah sedangkan tidak ada riwayat hadith berkenaan dengannya, lalu beliau menjawab, “Ya. Mereka akan diberi pahala apabila melakukannya dengan ikhlas. Ia adalah solat yang disunnahkan, bukan bid’ah”.
3. ‘Jika sudah ada yang sahih, mengapa cari yang da’if?’
Jawapan: Para Ulama tetap menerima hadith da’if apabila wujudnya faktor-faktor sokongan untuk menggunakannya hatta dalam perkara Aqidah dan hukum-hakam. Pada artikel yang akan datang insha Allah, saya akan senaraikan hadith-hadith da’if yang digunakan oleh para Mujtahid dalam ijtihad mereka.
Oleh itu, seseorang itu tidak boleh berinteraksi dengan hadith-hadith da’if sepertimana interaksinya terhadap hadith-hadith palsu. Kerana hadith-hadith palsu (mawdu’) adalah pendustaan dan pembohongan serta tidak boleh langsung bernisbah kepada Rasulullah ﷺ, akan tetapi hadith-hadith da’if masih bernisbah kepada RasuluLlah ﷺ dan Ulama menggunakannya dalam pembentukan syariat.
4. “Bukankah hadith sahih sudah mencukupi, kenapa nak ada tokok tambah dalam agama?”
Jawapan: Ya Kita bersetuju bahawa hadith-hadith sahih sudah mencukupi untuk menjadi asas pembinaan Aqidah dan hukum-hakam syara’, adapun penerimaan hadith da’if dalam fadilat amal pada hakikatnya tidak membina sebarang dasar Aqidah dan asas hukum-hakam, serta ia tidak termasuk tokok tambah di dalam agama kerana tidak ada larangan dari RasuluLlah ﷺ untuk seseorang itu memperbanyakkan amal ibadah dan taqarrub, bahkan pengamalan tersebut adalah selari dengan gesaan al-Qur’an “Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan” (al-Baqarah:148).
Shaykh Abdullah al-Ghumari dalam Itqan al-San’ah fi Tahqiq Ma’na al-Bid’ah menjelaskan bahawa segala sesuatu perkara baik yang tidak bercanggah dari kaedah-kaedah syara’ maka ia terangkum dalam pengertian sunnah hasanah yang disyariatkan disebabkan ia termasuk dalam keumuman ayat al-Qur’an dan hadith. Hal itu semua adalah menggambarkan syariat Islam yang tidak bersifat sempit sebaliknya penuh kekayaan dan keluasan di dalamnya.
5. “Mengapa beriya-iya nak amal hadith da’if sedangkan syarat-syarat untuk mengamalkannya adalah ketat”.
Jawapan: Para Ulama bersepakat meletakkan syarat yang ketat pada bab Aqidah dan hukum-hakam, bukan dalam perkara-perkara sunat untuk mendapat fadilat amal.
Imam al-Nawawi dalam al-Adhkar (Faslun fi al-Amri bi al-Ikhlas wa Husn al-Niyyat) dan al-Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab (jil.3,ms.226) telah menyatakan bahawa jumhur Ulama bersepakat untuk berlebih kurang dan bertolak ansur dengan sanad periwayatan hadith-hadith da’if yang berkaitan fadilat amal dan seumpamanya, dan bukan hal Aqidah dan hukum-hakam. Para Ulama menetapkan langkah kewaspadaan yang terbaik terhadap hadith da’if ialah dengan mengamalkannya bahkan disunatkan. Kesepakatan Ulama tersebut juga disebutkan oleh Imam al-Kharshi dalam Sharh al-Khalil (jil.1,ms.23), Ibnu Abd al-Barr dalam al-Tamhid dan Imam al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah (jil.1,ms.412).
6. “Bukankah hadith da’if sepatutnya ditinggalkan dan dijauhi kerana hadith sahih adalah lebih ori?”
Jawapan: Para Ulama Muhaddithin yang Muktabar tidak mudah menolak hadith da’if bahkan menurut kesepakatan para Ulama hadith da’if itu adalah untuk diamalkan bukan untuk ditinggalkan. Bahkan hadith-hadith yang berkaitan dengan hal taqarrub dan mengejar fadilat amal, kewarakkan yang sebenar adalah dengan mengamalkannya bukan meninggalkannya.
Oleh kerana itu, Ulama Muhaddithin menetapkan untuk berlebih kurang dengan periwayatan hadith-hadith da’if dan bukan mengetatkan syarat-syarat pengamalannya kerana maksud utama adalah untuk memudahkan umat beramal dengannya sesuai dengan tuntutan syara’ sebagaimana Firman Allah Ta’ala, “Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan” (al-Baqarah:148).
Diriwayatkan oleh Imam al-Bayhaqi dalam al-Dala’il dan al-Madkhal bahawasanya Imam Abd al-Rahman bin Mahdi berkata:
إذا روينا عن النبي صلى الله عليه وسلم في الحلال والحرام والأحكام شدَّدنا في الأسانيد وانتقدنا في الرجال وإذا روينا في الفضائل والثواب والعقاب سهَّلنا في الأسانيد وتسامحنا في الرجال
Bermaksud: “Apabila kami meriwayatkan dari Nabi Muhammad ﷺ berkenaan halal dan haram, maka kami akan ketatkan syarat periwayatannya, dan kami buat kritikan terhadap perawi-perawi. Dan apabila kami meriwayatkan hadith-hadith berkaitan mengejar fadilat amalan, ganjaran pahala, dan ancaman azab, maka kami akan berlebih kurang dengan sanad periwayatannya, dan kami bertolak ansur dengan status perawinya”.
Penjelasan lanjut
Apabila sesuatu amalan telah diterima oleh para Ulama, sungguhpun ia berdasarkan hadith da’if, hakikatnya amalan itu adalah sunnah kerana kedudukan hadith tersebut telah dikuatkan dengan penerimaan para Ulama. Jangan sampai seseorang itu menafikan amalan tersebut atau membid’ahkan orang lain hanya kerana dia diberitahu bahawa status hadith tersebut adalah da’if.
Antara perkara yang berada dalam pemerhatian saya adalah berkenaan amalan talqin mayat. Hal tersebut pernah saya hadapi sendiri ketika menghadiri sebuah pengurusan jenazah. Ketika pengebumian, para ahli keluarga inginkan agar talqin dibacakan, namun anak kepada jenazah berkeras tidak mahu talqin dibacakan kerana menurutnya ia adalah perbuatan bid’ah dan tidak ada hadith sahih yang mensabitkannya. Maka berlaku sedikit ketegangan antara sesama ahli keluarga sehinggalah akhirnya talqin tidak dibacakan.
Sedih melihat keadaan tersebut, bukan kerana talqin tidak dibacakan, sebab hukumnya sunat, tidak wajib. Tapi apa yang menyedihkan ialah kesalahfahaman ditengah-tengah masyarakat kita terhadap status hadith da’if sehingga ia menjadi penghalang baginya untuk melakukan sunnah yang telah disepakati oleh jumhur Ulama. Tambahan pula, dia menganggap bahawa talqin adalah bid’ah yang patut dijauhi hanya kerana ia berdasarkan hadith da’if.
Seluruh mazhab yang empat menyatakan bahawa talqin adalah sunnah dibacakan. Dibawah ini adalah keterangan Ulama dari empat mazhab:
1. Mazhab Shafi’i
Imam al-Nawawi al-Shafi’i dalam kitabnya al-Majmu’ (j.5, ms. 303) berkata:
يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُ الْمَيِّتِ عَقِبَ دَفْنِهِ فَيَجْلِسُ عِنْدَ رَأْسِهِ إنْسَانٌ
“Disunnahkan mentalqin mayat segera setelah menguburnya, di mana seseorang duduk di depan kepala mayat, dan berkata: Wahai fulan anak fulan….sehingga akhir”.
2. Mazhab Maliki
Imam Al-Mawwaq Al-Maliki, al-Taj Wa al-Iklil li Mukhtasar al-Khalil (j.2, ms. 375) berkata:
إذَا أُدْخِلَ الْمَيِّتُ قَبْرَهُ فَإِنَّهُ يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُهُ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ، وَهُوَ فِعْلُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ الصَّالِحِينَ مِنَ الْأَخْيَار
“Jika mayat telah dimasukkan ke dalam kuburnya, maka sesungguhnya disunnahkan mentalqinnya pada saat itu. Hal ini merupakan perbuatan penduduk Madinah yang saleh lagi baik”.
3. Mazhab Hanafi
Imam al-Zayla’i al-Hanafi dalam kitabnya Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq (j.3, ms. 153) menyebutkan:
أَنَّ تَلْقِينَ الْمَيِّتِ مَشْرُوعٌ، لِأَنَّهُ تُعَادُ إلَيْهِ رُوحُهُ وَعَقْلُهُ، وَيَفْهَمُ مَا يُلَقَّنُ
“Sesungguhnya mentalqin mayat itu disyariatkan, sebab ruhnya dikembalikan kepadanya, begitu pula akalnya. Dia memahami apa yang ditalqinkan (diajarkan)”
4. Mazhab Hanbali
Imam al-Buhuti al-Hanbali dalam kitabnya Sharh Muntaha al-Iradat (j.1, ms. 374) menulis:
وَسُنَّ تَلْقِيْنُهُ أَيْ: الْمَيِّتِ بَعْدَ الدَّفْنِ عِنْدَ الْقَبْرِ؛ لِحَدِيْثِ أَبِي أُمَامَةَ البَاهِلِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ
“Dan disunnahkan mentalqin mayat setelah dipendam di kuburan, kerana hadits riwayat Abi Umamah Al-Bahili radhiyallahu anhu”.
Bahkan Imam Ibnu Qayyim yang bermazhab Hanbali dalam kitabnya al-Ruh (ms.29) ketika membicarakan mengenai riwayat berkenaan kelakuan orang hidup diketahui orang-orang mati, katanya, “Hal tersebut menunjukkan bahawa sesungguhnya orang-orang yang telah mati mengetahui keadaan orang-orang hidup, mengetahui kunjungan ziarah mereka, dan mendengar salam mereka ke atasnya, sebagaimana amalan yang telah berlangsung sejak awal sehingga saat ini dari pembacaan talqin ke atas mayat di kuburnya. Dan telah ditanya Imam Ahmad bin Hanbal akan hal tersebut maka beliau telah memandangnya sebagai amalan yang baik dan beliau berhujah dengan pengamalan ahli ilmu terhadapnya”.
Selanjutnya Imam Ibnu Qayyim menyebutkan sebuah hadith da’if secara penuh dari al-Mu’jam li al-Tabrani mengenai amalan talqin ke atas si mati di tepi kuburnya, lalu beliau berkomentar:
“Sungguhpun hadith ini tidak sabit sahihnya, namun pengamalannya yang berterusan secara turun temurun oleh orang ramai (ahli ilmu) di segenap tempat dan setiap era tanpa sebarang penafian, adalah cukup untuk menjadi bukti untuk diamalkan. Demikian itu adalah kerana Allah Ta’ala tidak sekali-kali mentakdirkan sebuah kebiasaan ke atas umat yang merata di Timur dan Barat, yang mana umat ini adalah umat yang paling sempurna akalnya dan paling banyak pula pengetahuannya, untuk mengungkapkan perbicaraan kepada sesuatu yang tidak dapat mendengar atau mengerti? Padahal seluruh umat telah menganggapnya sesuatu yang baik dan tidak ada sesiapa yang menafikannya. Bahkan ia merupakan SUNNAH yang bermula dari golongan terdahulu lalu diikuti oleh yang terkemudian. Kalaulah orang yang ditujukan perbicaraan itu tidak dapat mendengar, nescayalah ia sama seperti berbicara kepada tanah, kayu dan batu nisan atau kepada seseorang yang tiada (al-ma’dum)”.
Kesimpulan
Apabila sesuatu fakta ilmu atau amalan dalam agama telah diterima dengan meluas oleh para Ulama Muktabar yang dipanggil Talaqqi bi al-Qabul, maka seseorang itu tidak perlu lagi tersangkut dengan Mustalah Hadith atau status hadith untuk menafikan fakta ilmu dan amalan tersebut. Demikian adalah kerana penerimaan Ulama secara Talaqqi bi al-Qabul adalah umpama keputusan hakim yang mengangkat segala perselisihan (hukmu al-hakim yarfa’u al-khilaf).
Kempen semak status hadith sepatutnya digunakan untuk membanteras hadith-hadith yang telah disepakati Ulama sebagai hadith palsu agar ia tidak tersebar dikalangan masyarakat. Adapun amalan-amalan yang telah diterima oleh para Ulama, hal tersebut tidak sepatutnya diganggu kerana ia dapat menimbulkan kekeliruan masyarakat sehingga mereka mula bertanya “hadith sahih tak habis nak amal, kenapa nak amal hadith da’if?” walhal soalan tersebut secara tidak langsung mengandungi pertikaian terhadap kefahaman para Ulama selama ini yang berdasarkan hadith da’if telah menerima amalan-amalan seperti talqin dan lain-lain sebagai sunnah . Sehingga umat ini tidak bermudah-mudah untuk keluarkan sesuatu yang telah sabit dalam agama.
Semua soalan yang dibincangkan di atas tidak akan timbul jika seseorang itu benar-benar memahami bahawa status hadith bukan titik noktah buat segalanya, kerana status hadith bukan proses terakhir dalam ijtihad dan istinbat hukum-hakam. Dan juga apabila dia benar-benar memahami bahawa hukum asal kepada sesuatu amal baik adalah boleh diamalkan dan sesebuah fakta ilmu adalah benar sehinggalah didatangkan dalil bahawa hal tersebut terbukti bercanggah dengan syariat. Berbeza dengan hadith palsu, yang mana hukum asalnya adalah salah sehingga dibuktikan kebenarannya, sebagaimana hal tersebut telah diterangkan dalil-dalilnya oleh Shaykh Dr. Khalīl Ibrāhīm Mulla Khāṭir dalam penulisannya bertajuk Khuṭūrah Musāwāh al-Ḥadīth al-Ḍaʻīf bi al-Mawḍūʻ (ms.99).

No comments:

Post a Comment