9 Apr 2014

Program Bulan Dakwah Sekolah-sekolah KPM



PANDUAN PELAKSANAAN PROGRAM BULAN DAKWAH
SEKOLAH-SEKOLAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN  MALAYSIA

PENDAHULUAN
1.        Program Bulan Dakwah Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia adalah satu program yang perlu dilaksanakan oleh semua sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memastikan aktiviti dakwah dilaksana dengan lebih bersepadu dan berkesan dengan pengembelingan semua pihak.

2.        Matlamat
Menyemarakkan usaha dakwah di peringkat sekolah agar penghayatan aktiviti dakwah dan syiar Islam dapat dihayati bersama.

3.        Objektif
3.1       Berusaha secara bersama dalam menangani permasalahan ummah dalam membina hadharah.
3.2       Menggerakkan usaha dakwah secara bersepadu agar lebih berkesan dan menyeluruh.
3.3       Meneruskan usaha-usaha amar makruf dan nahi mungkar.
3.4       Memberikan kesedaran bahawa setiap orang adalah bertanggungjawab untuk berdakwah.
3.5       Menggambarkan Islam sebagai agama yang syumul.

4.        Tarikh Pelaksanaan
Sepanjang bulan Jun dan Julai.

5.        Tempat
Semua aktiviti dilaksana di dalam premis sekolah masing-masing kecuali aktiviti “Street Dakwah” dilaksana di dalam kawasan sekolah dan kawasan luar yang berdekatan dengan sekolah mengikut kesesuaian.

6.        Sasaran
Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dengan melibatkan:

6.1       Murid-murid
6.2       Guru-guru
6.3       Kakitangan sekolah

7.        Strategi Pengurusan

7.1       Menyediakan kertas kerja Program Bulan Dakwah peringkat sekolah.
7.2       Menubuhkan Jawatankuasa Pelaksana peringkat sekolah
7.3       Jawatankuasa Pelaksana di peringkat sekolah adalah bagi memutuskan perkara berikut:
7.3.1         Memasukkan aktiviti ini dalam kalender sekolah.
7.3.2         Menyelaras jadual dan agihan tugas guru.
7.3.3         Memastikan penglibatan guru dan murid secara menyeluruh.
7.3.4         Mengenalpasti aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan (sekurang-kurangnya empat (4) aktiviti) mengikut kesesuaian masa dan kewangan berpandukan modul-modul seperti di lampiran A.

8.        Strategi Pelaksanaan

8.1       Mengadakan Majlis Pelancaran Program Bulan Dakwah Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat sekolah.
8.2       Melaksanakan program-program yang diatur sepanjang bulan dakwah.
8.3       Mengadakan Mesyuarat Post Mortem kekuatan dan kelemahan serta cadangan untuk memperbaiki kelemahan selepas tamat Program Bulan Dakwah.
8.4       Menghantar laporan pelaksanaan dengan mengisi borang seperti di lampiran D1 ke Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.


9.        Cadangan Aktiviti
Berikut adalah cadangan pengisian aktiviti untuk Program Bulan Dakwah peringkat sekolah. Sila semak modul di lampiran A sebagai panduan.

9.1         Kempen Menutup Aurat Dengan Sempurna
9.2         Kempen Smart Salam (Senyum Salam Sapa)
9.3         Kuliah 3 Minit
9.4         Radio Islami
9.5         Semarak Jawi
9.6         “Street Dakwah”
9.7         Pendakwah Cilik (SR sahaja)
9.8         Imam Remaja (SM sahaja)
9.9         Kempen Tak Nak “Couple” (SM sahaja)
9.10      Kaunter Faraid (SM sahaja)
9.11      Lain-lain aktiviti dakwah yang difikirkan sesuai oleh sekolah.

10.     Carta Perbatuan Program
(Rujuk Lampiran C)

11.     Penutup
Adalah menjadi harapan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Program Bulan Dakwah Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia ini dapat menyokong meningkatkan kualiti Etika dan Kerohanian Aspirasi Murid di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.


Disediakan oleh:

Sektor Dakwah dan Kepimpinan
Bahagian Pendidikan Islam
Kementerian Pendidikan Malaysia
Mac 2014M /  Jamadil Awal 1435H


LAMPIRAN A

MODUL-MODUL PROGRAM BULAN DAKWAH SEKOLAH-SEKOLAH
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Berikut adalah modul-modul cadangan sebagai pengisian aktiviti bulan dakwah peringkat sekolah.

1.    Tajuk       : Kempen Menutup Aurat Dengan Sempurna
Objektif    : Di akhir kempen ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Menutup aurat dengan sempurna
2.    Pendedahan berkenaan perintah menutup aurat daripada Al-Quran dan Hadith.
3.    Kesedaran dan mengetahui tanggungjawab mereka sebagai umat Islam yang patuh dan taat kepada perintah agama.
4.    Meningkatkan ilmu dan pemahaman peserta tentang isu-isu tentang aurat.
5.    Mencadangkan resolusi pemakaian tudung, t-shirt sukan berlengan panjang, seluar panjang untuk semua murid perempuan beragama Islam dan seluar panjang untuk semua murid lelaki beragama Islam.
Cadangan Aktiviti:
1.    Taklimat / ceramah kaedah menutup aurat dengan sempurna.
2.    Brosur / poster / “bunting” kaedah menutup aurat dengan sempurna.
3.    Pameran pakaian yang menepati syariah.


2.    Tajuk       : Kempen Smart Salam (Salam Senyum Sapa)
Objektif    : Di akhir kempen ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Mengucapkan salam dengan sebutan yang betul.
2.    Pendedahan berkenaan galakan senyum dan menyebarkan salam daripada Al-Quran dan Hadith.
3.    Meningkatkan ilmu dan pemahaman tentang isu-isu yang berkaitan dengan salam.
4.    Mengamalkan kaedah salam, senyum dan sapa dalam kehidupan seharian.
Cadangan Aktiviti:
1.    Taklimat kaedah, adab-adab dan kelebihan pengucapan salam yang betul.
2.    Brosur / poster / “bunting” kaedah, adab-adab dan kelebihan salam.
3.    Menekankan kepentingan salam setiap kali pertemuan.


3.    Tajuk       : Kuliah 3 Minit
Objektif    : Di akhir aktiviti ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Mendengar kuliah agama 3 minit setiap hari sepanjang bulan dakwah.
2.    Mencatat ilmu dan perkongsian yang diperolehi dari kuliah 3 minit tersebut.
3.    Memberi kesedaran akan pentingnya menuntut ilmu pengetahuan sebagai menyahut seruan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat.
4.    Menggalakkan pengisian 3 minit untuk mendengar ilmu dan kata-kata motivasi sebelum memulakan mesyuarat.
5.    Meningkatkan motivasi menambah ilmu pengetahuan tambahan melalui kuliah ilmu seperti di masjid dan surau.
Cadangan Aktiviti:
1.    Taklimat kaedah pelaksanaan kuliah 3 minit kepada guru dan murid.
2.    Melaksanakan bacaan teks kuliah 3 minit (tanpa ulasan) setiap hari mengikut jadual penyampai yang telah ditetapkan. Buku yang dicadangkan ialah
a.    Buku Tazkirah Kuliah 3 minit (KULTIM) terbitan PEKDIS.
b.    Terjemahan Kitab “Ayyuhal Walad” karya Imam Al-Ghazali.
3.    Pengisian 3 minit untuk mendengar ilmu dan kata-kata motivasi sebelum memulakan mesyuarat.
4.    Tajuk       : Radio Islami
Objektif    : Di akhir aktiviti ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Mendengar bacaan ayat suci Al-Quran dari Imam/Qari, bacaan ma’thurat dan nasyid.
2.    Mengenali nama dan biodata Imam/Qari terkenal tersebut secara ringkas sebelum dan selepas rakaman dimainkan.
3.    Mencungkil bakat murid sebagai DJ Radio Islam.
Cadangan Aktiviti:
1.    Memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran dari Imam/Qari terkenal, bacaan ma’thurat, kuliah/tazkirah ringkas dan nasyid mengikut kesesuaian masa.
2.    Mengadakan pertandingan mengenalpasti suara bacaan ayat suci Al-Quran dari Imam/Qari terkenal.
3.    Memberikan hadiah & sijil penghargaan kepada DJ Radio Islam.


5.    Tajuk       : Semarak Jawi
Objektif    : Di akhir aktiviti ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Menceriakan dinding surau dengan tulisan khat jawi.
2.    Menghargai nilai seni penulisan khat jawi.
3.    Mengetahui dan memiliki kemahiran menulis tulisan khat jawi.
4.    Menghargai bakat mereka yang mempunyai kemahiran menulis tulisan khat jawi.
Cadangan Aktiviti:
1.    Bengkel kaedah ejaan jawi baru*.
2.    Brosur / poster / “bunting” / mural tulisan seni khat jawi.
3.    Pertandingan menulis seni khat jawi, menjawikan teks rumi dan membaca teks jawi.

*Cadangan menggunakan Sistem 'ae' (Pemenang Anugerah Inovasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2008)

6.    Tajuk       : Pendakwah Cilik (SR sahaja)
Objektif    : Di akhir aktiviti ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Mencungkil bakat pengucapan awam.
2.    Memberi tazkirah ringkas secara spontan.
3.    Mengetahui ilmu tentang perkara asas dalam Islam.
4.    Menambah kesedaran akan tanggungjawab sebagai umat Islam yang patuh dan taat dengan perintah agama sejak peringkat rendah lagi.
Cadangan Aktiviti:
1.    Pertandingan/persembahan tazkirah spontan yang dibimbing oleh mentor.
2.    Tajuk dan isi tazkirah ringkas adalah bebas dan tidak membebankan murid.
3.    Tazkirah boleh diselitkan ayat Al-Quran dan Hadith yang pendek, pantun dan nyanyian nasyid.
4.    Memberikan hadiah & sijil penghargaan kepada Pendakwah Cilik dan mentornya.


7.    Tajuk       : Imam Remaja (SM sahaja)
Objektif    : Di akhir aktiviti ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Memimpin solat fardhu secara berjemaah.
2.    Memimpin wirid selepas solat, bacaan Yaasin dan tahlil.
3.    Memberi tazkirah ringkas secara spontan.
4.    Menambah kesedaran akan tanggungjawab sebagai umat Islam yang mampu memimpin dalam hal ehwal ibadah.
Cadangan Aktiviti:
1.    Kursus Imam Remaja.
2.    Bimbingan untuk murid memimpin solat fardhu secara berjemaah, wirid selepas solat, bacaan Yaasin & tahlil dan tazkirah ringkas secara spontan.
3.    Pertandingan pencarian Imam Remaja Sekolah.
4.    Pemberian merit tambahan untuk Imam Remaja.

8.    Tajuk       : “Street Dakwah” (SM sahaja)
Objektif    : Di akhir aktiviti ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Bercakap dan beramal dengan syariat agama Islam di kawasan terbuka.
2.    Meningkatkan ilmu dan pemahaman peserta tentang dakwah luaran.
3.    Kesedaran mengenai tanggungjawab mempromosikan Islam kepada masyarakat awam adalah tanggungjawab semua umat Islam.
4.    Mengetahui perjuangan Rasulullah s.a.w. berdakwah kepada masyarakat jahiliyyah dan masyarakat majmuk sebelum dan selepas peristiwa Hijrah.
5.    Menghargai anugerah agama Islam yang dimiliki.
Cadangan Aktiviti:
1.    Bengkel/Taklimat kaedah, adab-adab dan kelebihan berdakwah di tempat awam yang betul.
2.    Simulasi “Street Dakwah” sebagai pendedahan kepada murid.
3.    Melaksanakan “Street Dakwah” di dalam/luar kawasan sekolah.
4.    Bergerak secara kumpulan ke rumah-rumah yang berdekatan dengan masjid dan surau. Seterusnya mempromosikan aktiviti-aktiviti pengajian ilmu seperti di masjid dan surau. Mengedarkan risalah dakwah kepada masyarakat (mengikut isu semasa yang berkaitan dengan agama).
5.    Melaksanakan solat sunat/fardhu secara berjemaah di tempat awam.
6.    Melaksanakan bacaan doa makan secara berjemaah di tempat awam.


9.    Tajuk       : Kempen Tak Nak “Couple” (SM sahaja)
Objektif    : Di akhir kempen ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Menjauhi hubungan antara murid lelaki dengan murid perempuan secara berdua-duaan.
2.    Pendedahan berkenaan larangan “couple” daripada Al-Quran dan Hadith.
3.    Mengetahui ciri-ciri muslim sejati yang patuh dan taat kepada agama.
4.    Meningkatkan ilmu dan pemahaman tentang isu-isu “ikhtilat” (pergaulan melampaui batasan).
Cadangan Aktiviti:
1.    Ceramah mengenai bahaya zina dan bahaya muqaddimah zina kepada guru dan murid.
2.    Taklimat mengenai batasan pergaulan dan jarak berkomunikasi yang dibenarkan Islam.
3.    Brosur / poster / “bunting” mengenai bahaya zina dan bahaya muqaddimah zina.
4.    Tayangan video kesan zina kepada diri dan masyarakat.
5.    Pengasingan kedudukan dan susunan murid dalam kelas, perhimpunan dan kantin.
6.    Menubuhkan Skuad Muda Pencegah Maksiat di kalangan guru dan murid (untuk pencegahan di dalam kawasan sekolah). Seterusnya mengadakan taklimat kaedah, adab-adab dan kelebihan amar makruf nahi mungkar oleh pemegang kad kuasa pencegah maksiat. Menyediakan pelan tindakan nahi mungkar melalui pendekatan diplomasi dan berhikmah.


10. Tajuk       : Kaunter Faraid (SM sahaja)
Objektif    : Di akhir aktiviti ini, peserta diharapkan dapat:
1.    Memahami kaedah asas pembahagian harta dalam Islam.
2.    Pendedahan berkenaan perintah pembahagian harta daripada Al-Quran dan Hadith.
3.    Membuat kiraan percubaan faraid berasaskan Kalkulator Faraid Mahkamah Syariah Singapura (https://app.syariahcourt.gov.sg/syariah/front-end/Home.aspx)
4.    Kesedaran akan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam yang patuh dan taat dengan perintah agama dalam urusan pembahagian harta pusaka.
5.    Meningkatkan ilmu dan pemahaman tentang perbezaan agihan faraid yang diberkati dengan agihan hibah yang disepakati waris.


Cadangan Aktiviti:
1.    Taklimat kaedah asas pembahagian harta dalam Islam kepada guru, kakitangan sekolah dan murid.

2.    Melantik urus setia dikalangan guru dan murid untuk membuka kaunter pengiraaan faraid di sekolah. Seterusnya memberikan taklimat kepada mereka panduan pengiraan faraid di laman web. Membuka kaunter pengiraan faraid di makmal komputer sekolah atau di dalam kawasan sekolah pada waktu yang sesuai. Mencetak sijil percubaan kiraan faraid seperti contoh di lampiran B.

2 comments:

  1. Assalamualaikum ustaz,
    Bagaimana nak dapatkan buku kuliah 3 minit.
    Syukran

    ReplyDelete
  2. contact ust ruzain BPI 0192103267

    ReplyDelete